INFO E-KAUNSELING

Selamat datang ke laman e-kaunseling Jannatulhuda Konsultan. Kami menyediakan pelbagai khidmat kaunseling untuk membantu anda.
Kami mempunyai kepakaran dalam jurusan Kaunseling dan Psikologi. Pelanggan/klien boleh membuat janji temu dan memilih medium yang selesa untuk melakukan sesi kaunseling. Selain Itu, kami juga menawarkan perkhidmatan seperti pakar motivator dan fasilitator untuk program pembangunan sahsiah diri. Sebarang masalah boleh hubungi kami di talian yang disediakan.

Wednesday 25 April 2012

Minda : Fahami Situasi Remaja

KELUARGA adalah asas kebahagiaan hidup bermasyarakat. Keluarga bahagia menyumbang kepada kebahagiaan masyarakat dan negara. Jika keluarga porak-peranda kehidupan masyarakat juga akan kucar-kacir dan sukar untuk mencapai kebahagiaan.

Membesarkan anak-anak pada zaman sekarang semakin lama semakin sukar. Keluhan sebegini sering bermain di bibir ibu bapa dan pendidik.

Banyak faktor yang dikatakan menjadi penyebab, antaranya perkembangan pantas teknologi maklumat (IT) dan komunikasi serta pelbagai hiburan yang membuatkan anak-anak sukar dikendalikan. Kajian ahli psikologi mendapati masalah sering dihadapi remaja bersekolah boleh digolongkan dalam dua kategori utama iaitu masalah akademik dan masalah emosi sosial. Proses interaksi ibu bapa dengan anak-anak membolehkan individu memahami diri dan situasinya.



Disebabkan pelbagai gejala sosial, tidak ada sekolah yang mampu mendidik dengan sebaik mungkin tentang sikap anak-anak remaja. Faktor itu juga menyukarkan ibu bapa membesarkan anak-anak dalam situasi yang baik dan berdisiplin.



Tidak hairanlah ramai ibu bapa sebenarnya melakukan pelbagai percubaan dalam membesarkan anak-anak untuk kebaikan mereka. Anak-anak yang terbabit dengan pelbagai gejala sosial seharusnya melalui proses kaunseling di sekolah. Menurut Patterson dan Esienberg, melalui proses pertemuan bersemuka antara kaunselor dengan kliennya akan membawa perubahan positif pada akhirnya. Kaunseling dapat membantu remaja menolong memahami kelebihan dan kelemahannya, potensi dan keupayaannya.

Perlu diakui menjalin hubungan baik dengan anak-anak merupakan perkara penting, disebabkan ramai ibu bapa sambil lewa sehingga gagal mendidik anak-anak ke arah kebaikan. Ibu bapa tidak harus putus asa dalam mendidik anak-anak. Apa yang dianggap penting oleh ibu bapa untuk kebaikan anak ada kalanya disalah anggap oleh anak. Bahkan ramai ibu bapa kecewa dengan tingkah laku anak yang dipengaruhi rakan sebaya. Anak remaja memilih kawan atau rakan sebaya sebagai tempat rujukan pertama, guru rujukan kedua dan ketiga ibu bapa.

Perkara sepatutnya berlaku ialah ibu bapa menjadi tempat rujukan pertama anak-anak, kedua guru dan ketiga barulah rakan sebaya yang mempunyai perwatakan baik dan mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupannya. Sebagai anak wajib berbuat baik kepada ibu bapa dengan mendengar nasihat, mengikut apa diajar ke arah kebaikan.

Justeru, hubungan ibu bapa dan anak mestilah bermula dengan perasaan kasih sayang, saling menghormati, mendengar cakap dan nasihat ibu bapa, memahami perasaan anak dan sentiasa menasihatinya ke arah jalan kebaikan. Penerapan nilai-nilai Islam dalam keluarga mesti diamalkan secara berterusan. Pendidikan bermula dalam rumah tangga mestilah berteraskan nilai-nilai luhur iaitu nilai universal yang diajarkan juga oleh agama lain di dunia ini. Setiap individu dalam rumah tangga mestilah menunaikan kewajipan dan tanggungjawab yang diamanahkan.

Jika anak melakukan kesalahan, ibu bapa mestilah bertindak dengan bijaksana bagi kebaikan masa depan anak-anak. Bertindak tanpa arah tuju yang jelas dan hanya berdasarkan pada dorongan emosi merupakan tindakan yang hanya dilakukan oleh kanak-kanak.

Kerukunan hidup rumah tangga menjadi penyumbang besar kepada kebahagiaan jiwa anak-anak. Justeru, anak akan sentiasa berasa selamat, tenteram dan bahagia apabila berada di rumah.

Konsep ‘rumahku syurgaku’ mestilah bermula dari rumah tangga bahagia.

Anak-anak dalam usia tujuh hingga 12 tahun hendaklah selalu diberikan contoh baik sebagai ikutan mereka. Manakala anak-anak berusia 13 hingga 17 tahun mestilah meneruskan contoh baik sebagai ikutan adik-adiknya serta sentiasa diberikan nasihat positif ke arah kebaikan.

Oleh itu, anak-anak yang semakin meningkat remaja mestilah semakin rapat dengan keluarga, bukannya semakin jauh dan renggang.

Pada masa ini anak-anak remaja semakin banyak kawan dan kenalan yang dikenalinya. Kawan dan kenalan yang berperangai baik seharusnya menjadi pendamping kepada mereka. Justeru, anak-anak seharusnya mendapat peliharaan, didikan dan kasih sayang daripada ibu bapa sejak dilahirkan hinggalah dewasa.

Setelah berusia 40 tahun seseorang itu sudah cukup dewasa, matang pemikirannya, baik akal budinya dan menjadi bapa atau ibu kepada anak-anaknya pula.

Sebagai anak seharusnya sentiasa berdoa, agar sentiasa bersyukur atas nikmat Allah pada dirinya dan pada ibu bapanya dan dapat mengerjakan amal-amal yang salih sepanjang hidupnya.

Anak yang salih akan sentiasa mendoakan akan kebaikan dan mendoakan semoga Allah mengurniakan keampunan kepada ibu bapa dan seterusnya memasukkan mereka ke dalam golongan orang yang salih.

Lantaran itu, nilai-nilai akhlak yang mulia merupakan satu elemen sangat penting dalam pendidikan di rumah.

Melalui pendidikan, proses pembentukan, pembinaan dan penanaman nilai-nilai akhlak dalam hati dan jiwa anak mestilah berlaku secara berterusan. Ia meliputi setiap aspek dan aktiviti seharian membabitkan percakapan dan perbuatan.

Anak-anak yang berilmu pengetahuan mestilah dihiasi dengan nilai-nilai akhlak mulia dalam perhubungan dengan ahli keluarga. Adab sopan wajib dijadikan pegangan dalam kehidupan berkeluarga dengan mempraktikkannya dengan ibu bapa, saudara mara dan juga guru-guru.

Justeru, anak-anak yang dididik dengan nilai-nilai akhlak yang mulia tidak mudah terjebak dalam kancah gejala sosial yang boleh merosakkan masa depan mereka. Oleh sebab itu, Rasulullah bersabda: “Tidak ada sesuatu yang lebih berat dalam timbangan (pada hari kiamat) daripada akhlak yang baik.” (Riwayat Abu Daud).

Sesungguhnya, meningkatkan hubungan dalam keluarga mestilah bermula dengan akhlak yang baik. Iaitu berbicara dengan baik, berkelakuan baik, menunjukkan perasaan kasih sayang, bersopan santun, apabila berjumpa dengan orang menyambut dengan wajah senang, sentiasa senyum dan apabila berjanji mesti ditepati akan membuahkan kebaikan berterusan.
Penulis berkelulusan PhD Persuratan Melayu.

No comments:

Post a Comment